Institusi Yang di-Pertuan Persekutuan (YDPP) diwujudkan dalam komuniti permainan berperanan (roleplay) MYSverse Sim untuk berfungsi sebagai Ketua Utama Negara serta Pegawai Tertinggi Angkatan Tentera.
Sebagai Ketua Negara, Yang di-Pertuan Persekutuan memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan dan kestabilan sistem pemerintahan, selain bertanggungjawab menjaga hubungan antara kerajaan dan rakyat.

Di samping itu, Institusi YDPP berperanan memastikan semak dan imbang yang berkesan antara ketiga-tiga cabang kuasa kerajaan iaitu, Kehakiman, Eksekutif, dan Legislatif, agar tiada penyalahgunaan atau pertindihan kuasa berlaku. Ini merupakan asas utama dalam memastikan keadilan, ketelusan, dan kebertanggungjawaban dalam pentadbiran negara.
Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dengan institusi Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam dunia sebenar, penggunaan nama Yang di-Pertuan Persekutuan (YDPP) dipilih sebagai tanda hormat kepada institusi diraja yang sedia ada dalam sistem pemerintahan negara dunia sebenar
Langkah ini juga bertujuan untuk membezakan peranan institusi dalam komuniti permainan berperanan (roleplay) ini daripada peranan dan fungsi Yang di-Pertuan Agong yang sebenar, sambil mengekalkan elemen-elemen diraja yang dihormati dalam sistem pemerintahan negara.